FOTO Arkib NSTP.
FOTO Arkib NSTP.
Baharom Bakar


DIANGGARKAN lebih sejuta penutup mulut dan hidung yang diimport dari luar negara akan tiba esok, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid.

Katanya, pembekal utama produk itu memaklumkan demikian sekali gus dijangka menyelesaikan masalah kekurangan bekalan.

Menurutnya, pembekal diberi kebenaran oleh kerajaan untuk mengimport penutup mulut dan hidung dari luar negara selepas mendapati bekalan tempatan habis susulan penularan Covid-19.

“Kementerian dimaklumkan bahawa pembekal utama mengimport lebih sejuta penutup mulut dan hidung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, bekalan produk itu berkurangan sejak awal bulan lalu, namun bukan disebabkan kegiatan sorok barang sebaliknya, banyak yang dieksport ke luar negara.

“Kira-kira lima peratus sahaja untuk bekalan tempatan. Jadi perjumpaan dengan pengilang dan pengeluar utama produk pada Selasa lalu sudah mencapai sepakat supaya bekalan tempatan ditambah antara 20 peratus ke 35 peratus lagi.

“Pengeluar pula terpaksa mengeksport penutup mulut dan hidung ke luar negara disebabkan mematuhi perjanjian dengan pengeluar bahan mentah, ” katanya.

Beliau juga menegaskan tiada peniaga dikesan menyorok bekalan topeng itu dan penguat kuasa kementerian sentiasa melakukan pemantauan bagi mengesan peniaga ingkar.

Katanya, harga penutup mulut dan hidung juga tidak boleh dijual melebihi RM2 sekeping dan mereka ingkar boleh didakwa mengikut Seksyen 11, Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 12:41 PM