Harga baharu penutup mulut dan hidung diumum Rabu.
Harga baharu penutup mulut dan hidung diumum Rabu.
Baharom Bakar


PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan harga baharu penutup mulut dan hidung, Rabu ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, harga yang bakal diumumkan dijangka kurang daripada RM2 sekeping.

Katanya, penetapan harga baharu bahan kawalan itu dilakukan selepas mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan pengeluar penutup mulut dan hidung di negara ini.

“Kerajaan mengambil tanggungjawab dan inisiatif ini selepas kenaikan harga penutup mulut dan hidung dari 80 sen kepada RM2 dilihat membebankan rakyat, ” katanya ketika dihubungi NSTP di Kuala Terengganu, hari ini. Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, kenaikan mendadak harga disebabkan permintaan dan desakan pengeluar utama bahan itu.

Katanya, pengeluar utama penutup mulut dan hidung meminta kerajaan menaikkan harga bahan itu dengan alasan sukar mendapatkan bahan mentah.

“Bagaimanapun, Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah mengadakan perbincangan dan pengeluar bersetuju untuk menurunkan harga bahan itu.

“Tunggu pengumuman akan dibuat Perdana Menteri selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet Rabu ini, ” katanya sambil menegaskan harga baharu itu tidak membebankan rakyat.

Mengenai mengenai penipuan pembelian topeng dan mulut melalui atas talian, Rosol mengakui ada menerima maklumat itu serta siasatan awal dilakukan mendapati mangsa mengalami kerugian melebihi RM300,000.

“Kerajaan sukar untuk mengambil tindakan kerana kebanyakan kes membabitkan pembekal di luar negara,” katanya.

Mengenai kegiatan menyorok bahan itu, Rosol mengakui setakat ini pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNHEP sudah merampas lebih 500,000 penutup mulut dan hidung di seluruh negara.

  • Lagi berita

    berkaitan Covid-19

  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 3:54 PM