PETUGAS Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan melakukan proses saringan kepada penumpang dari penerbangan Kuala Lumpur yang tiba di terminal ketibaan Lapangan Terbang Labuan.
PETUGAS Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan melakukan proses saringan kepada penumpang dari penerbangan Kuala Lumpur yang tiba di terminal ketibaan Lapangan Terbang Labuan.
BERNAMA

PENGILANG penutup mulut dan hidung bersetuju meningkatkan jumlah pengeluaran bagi menangani isu kekurangan bekalan di pasaran dalam masa terdekat berikutan peningkatan permintaan susulan jangkitan koronavirus baharu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dicapai hasil daripada sesi libat urus Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan pihak industri termasuk pengeluar, pengimport, pemborong dan peruncit penutup mulut dan hidung.

“Pemeriksaan dan lawatan ke kilang pengeluar penutup mulut dan hidung juga sudah dilakukan bagi melihat proses pengeluaran dan seterusnya berbincang dengan mereka untuk meningkatkan pengeluaran daripada pengeluaran biasa,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata KPDNHEP akan terus bekerjasama dengan pihak industri bagi menyelesaikan sebarang cabaran dan kekangan dihadapi supaya bekalan penutup hidung dan mulut di pasaran dipertingkat bagi memenuhi permintaan pengguna.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata KPDNHEP mengeluarkan kompaun bernilai RM57,400 dan rampasan sebanyak RM4,255.50 sepanjang operasi pemeriksaan bekalan penutup mulut dan hidung dari 25 Januari sehingga semalam.

Katanya, dalam tempoh itu juga sebanyak 2,103 premis perniagaan dipantau dan 17 kesalahan dikesan dengan 14 kes jualan melebihi harga maksimum dan tiga kes tidak mempamerkan tanda harga.

“Pegawai penguat kuasa kementerian akan pertingkatkan pemantaun di premis perniagaan yang menjual penutup mulut dan hidung sehingga isu koronavirus baharu dapat dibendung bagi menangani jualan melebihi harga kawalan atau kenaikan tidak munasabah,” katanya.

Penutup mulut dan hidung merupakan barang harga terkawal mengikut Perintah Kawalan Harga (Barang-Barang Harga Terkawal) 2009 dan Perintah Kawalan Harga (Penetapan Harga Maksimum) (No.2) 2009 dan peniaga menjual penutup mulut dan hidung melebihi harga diwartakan melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

SAIFUDDIN
SAIFUDDIN

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 7:30 AM