ANNUAR MUSA
ANNUAR MUSA
Yusmizal Dolah Aling


BELUM ada sebarang keputusan mengenai penganjuran bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan tahun ini seperti yang ditimbulkan sesetengah pihak.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau selaku menteri bertanggungjawab memberikan masa sehingga Jumaat ini kepada pihak berkuasa membabitkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan untuk mengemukakan cadangan terlebih dahulu.

Katanya, wujud pihak tertentu sengaja menimbulkan dan mempolitikkan isu terbabit walaupun sudah dijelaskan sebelum ini.

“Saya menafikan antaranya dengan menyatakan Menteri Wilayah Persekutuan akan meneruskan bazar Ramadan. Itu sudah lain sama sekali dengan apa yang saya cuba huraikan.

“Belum ada keputusan seperti kononnya bazar Ramadan diputuskan. Saya nak dengar dahulu taklimat apakah yang mereka rancangkan, kita perlu dengar dahulu daripada pengurusan dan pentadbiran dan saya berikan masa dua tiga hari dan pada Jumaat, mereka perlu berikan taklimat kepada saya,” katanya dalam sidang media menerusi Facebooknya, hari ini.

Annuar berkata, beliau mempunyai cara tersendiri dan tidak akan membuat keputusan atau mengarah sesuatu tanpa mengambil kira pandangan daripada pentadbiran.

Menurutnya, tidak ada satu keputusan oleh penguasa tempatan tanpa terlebih dahulu merujuk dan mengambil kira garis panduan yang ditetapkan autoriti yang lebih berwajib, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sebab sekarang ini pengurusan soal wabak dikira sebagai satu bencana dan dalam konteks ini, Agensi Pengurusan Bencana Negara di bawah MKN adalah pihak yang mesti kita dengari.

“Jadi kalau nak bincang bazar Ramadan dalam konteks Covid-19, maka wajib kita mengambil kira garis panduan dengan mengambil kira kedua-dua agensi ini daripada penguasa tempatan di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Sejak 26 Mac lalu, beberapa negeri sudah mengumumkan pembatalan bazar Ramadan sebagai langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan wabak Covid-19 antaranya Negeri Sembilan dan Terengganu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 6:00 PM