PETUGAS pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang lengkap berpakaian peralatan perlindungan diri (PPE) mengumpulkan penghuni dan pekerja di sekitar kawasan Masjid India untuk menjalani saringan Covid-19. FOTO Asyraf Hamzah
PETUGAS pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang lengkap berpakaian peralatan perlindungan diri (PPE) mengumpulkan penghuni dan pekerja di sekitar kawasan Masjid India untuk menjalani saringan Covid-19. FOTO Asyraf Hamzah
Yusmizal Dolah Aling


KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan menjangkakan beberapa lagi penempatan didiami warga asing berisiko dijangkiti Covid-19.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya memberi perhatian berhubung perkara itu kerana statistik menunjukkan jumlah kes baru di Wilayah Persekutuan adalah tinggi.

Katanya, semalam saja ada 44 pertambahan kes baru di Wilayah Persekutuan dan jumlah itu agak tinggi berbanding tempat lain.

Katanya, antara penempatan dijangkakan itu termasuklah kondominium dan rumah sewa didiami warga asing di Wilayah Persekutuan.

"Semalam juga kes keseluruhan di Wilayah Persekutuan adalah sebanyak 803 kes. Oleh sebab itu akan ada langkah lanjutan, saya tahu bila diperketatkan ini maka lagi banyaklah kerja kepada jawatankuasa kerja keselamatan yang saya pengerusikan.

"Kita mahu memastikan sekarang ini Lembah Pantai, Putrajaya dan Kepong, kalau dikira nisbah pada kadar 100,000 penduduk, di Lembah Pantai kadarnya 102 bagi setiap 100,000 penduduk.

"Putrajaya pada kadar 42 orang dan Kepong 23 orang bagi setiap 100,000 penduduk. Jadi kalau melebihi 20 kes ditakrifkan sebagai kawasan merah, ini takrif baru yang dilihat Kementerian Kesihatan, iaitu perbandingan mengikut jumlah penduduk," katanya pada sidang media menerusi Facebook.

Katanya, pecahan kes mengikut kawasan parlimen ialah Seputeh sebanyak 330 kes, Bukit Bintang (129), Segambut (67), Putrajaya (52), Titiwangsa (43), Bandar Tun Razak (43), dan Batu (42).

Setakat 6 petang hari ini kes keseluruhan di Wilayah Persekutuan adalah sebanyak 855 kes dengan 45 pertambahan kes baru.

Sementara itu, beliau berkata, pembentangan mengenai kaedah bazar Ramadan secara pandu lalu akan diadakan Khamis ini bagi memberi pencerahan kaedah yang akan digunakan.

Katanya, perbincangan bersama persatuan penjaja diadakan semalam dan keputusan untuk tidak mengadakan bazar Ramadan tahun ini di Wilayah Persekutuan sudah dicapai.

"Kita juga sepakat apa juga bayaran yang sudah dibuat pada tahun ini akan dibawa ke tahun depan. Jadi tahun depan peniaga tak perlu bayar lagi.

"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Perbadanan Putrajaya akan membentangkan kepada jawatankuasa peringkat menteri, jawatankuasa memerangi Covid-19 secara terperinci," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 6:20 PM