Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.
Yusmizal Dolah Aling


KEADAAN belum mengizinkan untuk kerajaan meneruskan kaedah gantian bazar Ramadan seperti dicadangkan Kementerian Wilayah Persekutuan sebelum ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya berharap penjaja memahami perkara itu kerana fokus utama ketika ini ialah melawan penularan pandemik Covid-19 dengan sebaik mungkin.

Katanya, pembatalan apa juga bentuk bazar Ramadan seperti dicadangkan dibuat selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengambil kira semua keadaan demi kebaikan bersama.

Pada sidang media harian hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan sebarang bentuk bazar Ramadan termasuk kaedah pandu lalu, secara bungkus atau menggunakan e-hailing seperti diputuskan sebelum ini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, cadangan itu dipersetujui Kabinet 8 April lalu bagi menggantikan bazar Ramadan yang menjadi rutin tahunan.

“Saya harap penjaja dan peniaga faham bahawa keputusan ini diambil untuk kita memastikan bahawa perang melawan Covid-19 benar-benar kita laksanakan,” katanya pada sidang media menerusi Facebook hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) akan melancarkan i-HYA Ramadan iaitu program bagi orang perseorangan dan syarikat korporat untuk menyumbang makanan berbuka puasa dan sahur.

“Kita sediakan pakej menu bernilai RM10. Ada tiga pilihan iaitu menyumbang secara tunai, sumbangan pakej makanan dan memilih penerima yang ingin diserahkan sumbangan berkenaan.

“Tempahan boleh dibuat bermula 22 April menerusi laman web YWP. Ini akan menggantikan program iftar yang biasa kita buat untuk anak yatim, tahfiz, dan berbuka di pejabat sebelum ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 3:48 PM