Nor Fazlina Abdul Rahim


LANJUTAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Rabu ini sehingga 14 April depan sudah digazetkan, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Katanya, lanjutan PKP itu digazet menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 432).

“Tidak timbul soal perundangan mengenai tempoh pelanjutan PKP kerana ia sudah dibuat melalui saluran undang-undang.

“Setiap kali tempoh PKP dilaksanakan, ia perlu digazet dan sebelum ini kita gazet untuk tempoh 18 Mac hingga 31 Mac sahaja sebelum lanjutan PKP dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Bharu, hari ini.

 DATUK Takiyuddin Hassan ketika ditemui di Kompleks Kota Darulnaim hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
DATUK Takiyuddin Hassan ketika ditemui di Kompleks Kota Darulnaim hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob itu turut dihadiri Timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.

Sebelum ini, ada pihak mempertikaikan tindakan kerajaan melanjutkan tempoh PKP sama ada perkara berkenaan digazetkan atau belum.

Akhbar sebelum ini melaporkan, kerajaan mengenakan PKP bermula 18 Mac hingga 31 Mac sebelum dilanjutkan ke 14 April depan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 3:49 PM