Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Pas kekal pendirian tidak pernah menganggap Barisan Nasional (BN) sebagai musuh walaupun tidak bekerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sebaliknya, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, musuh mereka sama ada Pas atau BN adalah Pakatan Harapan (PH).

"Kita tidak bermusuh namun ini satu amalan demokrasi yang mana kita bermain di padang sama rata.

"Jika kawasan tertentu dimenangi BN, tidak mengapa asalkan tidak jatuh kepada PH. Kita memang tidak bermusuh kerana kita kekalkan konsep penyatuan ummah.

"Amalan konsep penyatuan ummah, walaupun tidak berkawan rapat, namun tidak bermusuh sama sekali," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pengamal media di Kelantan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Takiyuddin berkata, terdapat perkara tertentu yang menyebabkan Pas terpaksa membuat pilihan untuk PRU-15.

"Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang sudah jelaskan penyatuan ummah mesti merangkumi parti Melayu Islam. Kita menyeru dan mengajak serta memohon kepada rakan kita Umno supaya bergabung.

TAKIYUDDIN pada sidang media selepas sesi Majlis beramah mesra bersama  Kelab Media Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
TAKIYUDDIN pada sidang media selepas sesi Majlis beramah mesra bersama Kelab Media Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

"Ini kerana orang sudah melihat sejak Mac 2020 apabila kita berjaya membentuk kerajaan bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 4:58 PM