PETUGAS MyCare bersama barang sumbangan. FOTO Ihsan MyCare
PETUGAS MyCare bersama barang sumbangan. FOTO Ihsan MyCare
Rosyahaida Abdullah


PRIHATIN dengan mereka yang kehilangan punca pendapatan akibat Covid-19, MyCARE Johor mengambil inisiatif menyumbangkan barangan keperluan asas bernilai RM6,300 kepada golongan sasar di selatan tanah air.

Penasihat MyCARE Johor, Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar berkata, menerusi kerjasama pasar raya Econsave cawangan Senai, sebanyak 65 pek keperluan asas khususnya makanan yang bernilai RM96.70 setiap satu disediakan hasil sumbangan orang ramai mereka.

Jelas beliau, selain keluarga miskin sumbangan memberi tumpuan kepada isi rumah yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19 terutamanya sejurus Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa pada 18 Mac lalu.

“Hasil persetujuan kerjasama Pengurus Besar Wilayah Selatan Econsave, Mas Imran, sumbangan orang ramai melalui MyCARE ini disalurkan dalam bentuk keperluan asas khususnya makanan seperti beras, tepung, minyak masak, gula, susu, biskut dan sos cili.

“Sumbangan disalur menggunakan beberapa kenderaan untuk penghantaran pek terbabit ke 65 keluarga di seluruh negeri (Johor) khususnya Johor Bahru, Skudai, Senai, Kulai, Sungai Tiram, Kempas, Perling dan Muar,” katanya dalam satu kenyataan.

ANTARA penerima bantuan. FOTO Ihsan MyCare
ANTARA penerima bantuan. FOTO Ihsan MyCare

Menurut beliau, penyampaian sumbangan turut dilakukan bersama pasukan i-Bantu IKRAM Shah Alam yang turut membabitkan kawasan luar Johor iaitu Shah Alam, Petaling Jaya, Klang dan Sungai Buloh di Selangor.

“Penyaluran ini juga sebahagian daripada penyaluran fasa dua berjumlah RM50,000 untuk 500 keluarga di kawasan yang terbabit,” katanya.

Gerak kerja bagi penyerahan sumbangan diketuai Pengerusi MyCARE Johor, Rozi Abdul Ghani dengan bantuan Eksekutifnya, Saadon Suleiman.

Turut hadir sempena program itu adalah Guru Besar MyCARE Centre 4 Rohingya Education, Nor Shahidatul Akma serta Yang DiPertua Ikram Kulai, Khalid Leman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 5:30 PM