MyCARE Johor memberi sumbangan barangan keperluan dalam misi bantuan banjir di Temerloh, Pahang. Foto Ihsan MyCARE Johor
MyCARE Johor memberi sumbangan barangan keperluan dalam misi bantuan banjir di Temerloh, Pahang. Foto Ihsan MyCARE Johor
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Prihatin dengan penduduk yang terjejas banjir di Pahang, MyCARE Johor menyumbangkan barangan keperluan asas bernilai RM10,000 kepada mangsa di Temerloh.

Eksekutif MyCARE Johor, Mohamad Saadon Suleiman berkata, misi bantuan banjir berkenaan mendapat kerjasama daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) I Bantu Ikram Johor ke Temerloh.

"Antara yang disumbangkan dalam misi bantuan berkenaan adalah selimut, tikar plastik, bantal dan kelengkapan dapur.

"Sumbangan baju dan pek penjagaan kebersihan turut disalurkan kepada Pertubuhan Ikram dan MyCARE cawangan Temerloh daripada MyCARE dan I Bantu Ikram Johor," katanya.

Menurutnya, sumbangan berkenaan diserahkan kepada wakil Pertubuhan Ikram cawangan Temerloh untuk disalurkan kepada mangsa.

"Diharapkan bantuan yang diberikan sedikit sebanyak dapat menggembirakan hati penerima dan menghilangkan kedukaan atas musibah dan bencana yang dialami.

"Pihak kami berterima kasih kepada semua penyumbang dan penderma atas sumbangan yang dihulurkan dalam membantu mereka yang terkesan akibat banjir kali ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 5:25 PM