MAS Imran (kiri) menyampaikan bantua kepada Abd Aziz di Econsave Pekan Nanas, Pontian. FOTO TOGI MARZUKI
MAS Imran (kiri) menyampaikan bantua kepada Abd Aziz di Econsave Pekan Nanas, Pontian. FOTO TOGI MARZUKI
Adnan Ibrahim


SEMUA 18 pasar raya Econsave di Johor mengubah waktu operasi mengikut ketetapan pihak berkuasa tempatan (PBT) selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pasar raya Econsave di Teluk Ramunia, Desa Cemerlang, Bukit Gambir, Pekan Nanas, Kluang, Pasir Gudang, Permas Jaya, Taman Putri Kulai, Simpang Renggam, Pontian, Skudai, Senai, Taman Daya, Yong Peng dan Segamat beroperasi mulai 8 pagi hingga 7 malam.

Pasar raya itu di Muar dan Bakri beroperasi mulai 8 pagi hingga 6 petang, manakala pasar raya di Daiman Jaya beroperasi pada 9 pagi hingga 7 malam.

Pengurus Operasi Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam berkata, penukaran masa operasi rangkaian pasar raya itu berkuat kuasa mulai semalam hingga 31 Mac ini dan sebarang pertukaran akan dimaklumkan mengikut keadaan semasa serta arahan kerajaan.

“Orang ramai tidak perlu bimbang dengan perubahan waktu ini kerana ia tidak menjejaskan kuantiti barang yang di jual di pasar raya ini kerana penghantaran daripada pusat dilakukan mengikut jadual serta keperluan semasa.

“Sekali lagi saya berpesan kepada semua pengguna di negeri ini agar tidak membuat pembelian panik kerana barang keperluan harian, dapur dan basah mencukupi sepanjang tempoh PKP dilaksanakan,” katanya melalui kenyataan kepada media, hari ini.

Mas Imran turut menasihatkan orang ramai menjaga penjarakan sosial ketika membeli barang di pasar raya mereka, selain memakai penutup mulut dan hidung serta sarung tangan jika perlu dan mencuci tangan menggunakan pembasmi kuman.

“Orang ramai juga diharap memberikan kerjasama kepada pengurusan pasar raya yang membuat pemeriksaan saringan suhu badan sebelum masuk untuk mendapatkan barang keperluan mereka,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 5:57 PM