Datuk Dev Kumar.
Datuk Dev Kumar.
Mohd Roji Kawi


SERAMAI 28 individu ditahan di seluruh negeri ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, mereka ditahan dalam operasi mulai jam 12 tengah malam tadi hingga jam 8 pagi, ini.

Beliau berkata, 24 daripada yang ditahan itu adalah lelaki manakala selebihnya wanita.

“Sembilan daripada mereka ditahan di Miri, tujuh di Dalat, empat di Sarikei, Kota Samarahan, Lawas dan Bintulu masing-masing dua manakala Kuching dan Padawan masing-masing seorang.

“Hasil siasatan mendapati 26 yang ditangkap tidak dapat memberi alasan yang munasabah untuk berada di jalan raya atau tempat awam manakala dua yang ditahan di Batu Niah kerana merempuh sekatan jalan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dev berkata, semua yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-dua sekali.

“Siasatan juga dijalankan mengikut Peraturan 7(1)Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Selain itu, Dev turut memberi amaran kepada orang ramai mematuhi PKP yang dikuatkuasakan sehingga 14 April depan.

“Polis tidak akan teragak-agak untuk menangkap mana-mana orang yang tidak dapat memberi alasan munasabah ketika ditahan di sekatan jalan raya atau semasa pemeriksaan mengejut,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 7:14 PM