GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


LELAKI warga Iran bertindak menengking dan mengajak anggota polis bergaduh selepas tidak berpuas hati ditahan ketika sekatan jalan raya di Plaza Tol PJS 2, Petaling Jaya, semalam.

Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan kerana gagal memberikan alasan munasabah mengenai pergerakannya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, individu berkenaan bertindak agresif dan menolak bahu anggota polis selain menengking serta mengajak anggota polis berkenaan bergaduh.

“Dia kemudian ditahan kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Selain itu, kita turut menahan 11 individu lain di sekitar daerah ini kerana ingkar arahan PKP selepas gagal memberi alasan munasabah.

“Semua 11 individu terbabit termasuk enam warga asing, masing-masing warga Indonesia, India, Myanmar dan Iran ditahan di beberapa lokasi di Petaling Jaya antara 9 pagi sehingga 10.30 malam.

“Sembilan daripadanya ditahan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) iaitu di Persiaran Surian - Pelangi Damansara; Plaza Tol Sungai Buloh - Damansara Damai, Plaza Tol Subang - Kelana Jaya dan Plaza Tol PJS 2 – Petaling,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tiga lagi ditahan kerana memandu dalam keadaan mencurigakan dan gagal memberi alasan munasabah di Bandar Utama dan Lebuhraya Sprint.

“Semua tangkapan disiasat mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Polis memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi arahan PKP yang sudah memasuki fasa kedua sejak 1 April lalu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 4:57 PM