GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nor Fazlina Abdul Rahim


SEMUA aktiviti di masjid dan surau di Kelantan termasuk solat Jumaat dan fardu secara berjemaah ditangguhkan bermula esok sehingga 31 Mac.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Zulkifle Ab Rahman berkata, pendekatan itu sebagai langkah membendung penularan Covid-19.

Katanya, dalam tempoh berkenaan, semua masjid dan surau di negeri itu digalakkan melaksanakan operasi pembersihan dan penyahkuman sebagai langkah kawalan membendung wabak itu.

“Perlanjutan atau penamatan tempoh 14 hari berkenaan adalah tertakluk sepenuhnya kepada arahan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) berdasarkan nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bagaimanapun, laungan azan dan pelaksanaan solat fardu di masjid dan surau secara berjemaah hendaklah dilakukan oleh pegawai masjid sahaja iaitu imam tua, imam muda, bilal dan siak selepas melepasi saringan pemeriksaan di Pejabat Kesihatan Daerah.

“Sepanjang tempoh itu, semua perhimpunan untuk tujuan aktiviti agama seperti kuliah dan ceramah di masjid serta surau hendaklah ditangguhkan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad berkata, sekiranya berlaku kematian akibat Covid-19, jenazah orang Islam hendaklah diuruskan sebagaimana hukum pengurusan jenazah orang Islam disyaki atau disahkan dijangkiti virus iaitu pengecualian dan kelonggaran, sekiranya terdapat keadaan yang boleh menimbulkan kemudaratan kepada nyawa petugas yang menguruskan jenazah itu.

“Dalam hal ini, dibolehkan jenazah itu melalui prosedur tayammum yang paling ringan dan kesan bahayanya seperti melakukan tayammum hanya diatas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalut jenazah itu sahaja.

“Justeru, semua pihak yang terbabit dengan pengurusan masjid dan surau dan ahli jawatankuasa di Kelantan hendaklah mematuhi arahan ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 5:48 PM