SOLAT fardu dan solat sunat masih dilakukan di masjid dan surau di Kelantan dengan mengikut SOP. FOTO HIASAN
SOLAT fardu dan solat sunat masih dilakukan di masjid dan surau di Kelantan dengan mengikut SOP. FOTO HIASAN
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) melanjutkan penangguhan kuliah agama di masjid dan surau di Kelantan termasuk kelas al-Quran sehingga 30 Oktober ini.

Sebelum ini, MAIK mengarahkan semua kuliah agama di masjid dan surau di seluruh Kelantan termasuk kelas al-Quran ditangguhkan bermula 25 Oktober sehingga semalam.

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, bagaimanapun pihaknya memutuskan penangguhan itu dilanjutkan sehingga akhir bulan ini susulan peningkatan jumlah kes Covid-19 di seluruh negara.

Beliau berkata, perkara itu mendapat perkenan Sultan Muhammad V untuk melanjutkan penangguhan kuliah agama di masjid dan surau di seluruh Kelantan.

"Sejak akhir-akhir ini berlakunya peningkatan dalam kes Covid-19 di seluruh negara termasuk di Kelantan dan penangguhan semua kuliah agama ini adalah sebagai langkah bagi membendung penularan Covid-19.

"Justeru itu, MAIK memutuskan agar penangguhan semua kuliah- kuliah agama sama ada kuliah Subuh, kuliah Maghrib, kuliah Dhuha dan kuliah lain termasuk kelas al-Quran ditangguhkan," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun, solat fardu dan solat sunat boleh dilaksanakan seperti biasa dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak Covid-19 yang dikeluarkan oleh pihak MAIK sebelum ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 9:55 AM