WAN AZHAR WAN YUSOFF
WAN AZHAR WAN YUSOFF
Asrol Awang


SEBAGAI langkah berjaga-jaga berikutan kes penularan wabak Covid-19, Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengaktifkan mod pengajaran dan pembelajaran (P&P) menggunakan e-Learning dengan aplikasi dalam talian, berkuat kuasa serta merta.

Ia membabitkan operasi di kampus UMP Pekan dan Gambang bermula hari ini hingga 12 April depan.

Naib Canselor UMP, Prof Dr Wan Azhar Wan Yusoff berkata, semua sesi pembelajaran dan pengajaran akan dijalankan secara dalam talian kepada semua pelajar.

Katanya, segala aktiviti bersemuka seperti kuliah, makmal dan penyelidikan akan dihentikan serta merta dan akan diselaraskan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Arahan ini dikeluarkan sebagai langkah proaktif memastikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan secara teratur dan sistematik,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Bertindak Bencana Universiti, di sini hari ini.

Beliau berkata, dengan keputusan itu, semua staf akademik akan melaksanakan kaedah e-Pembelajaran dalam talian melalui Sistem Pengurusan Pembelajaran UMP (KALAM) pada masa kuliah sebenar dengan menggunakan mana-mana aplikasi talian yang bersesuaian.

Katanya, pihaknya juga menasihatkan staf akademik UMP mendapatkan khidmat nasihat bagi melaksanakan P&P secara e-Pembelajaran daripada pihak Pusat Sumber Pengajaran & e-Pembelajaran (CIReL) UMP bagi memastikan perkara itu dilaksanakan mengikut keperluan yang ditetapkan.

“UMP menangguhkan semua program atau aktiviti membabitkan perhimpunan di dalam dan luar kampus universiti ini selepas mengambil kira nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Selain itu, staf pentadbiran dan akademik juga dikehendaki melaksanakan kerja dari rumah kecuali staf yang menjalankan tugas berkaitan kepentingan universiti seperti keselamatan, kesihatan atau staf yang diarahkan bertugas,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 5:31 PM