Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini ditangguhkan kerana bekas perdana menteri itu cuti sakit selepas menjalani pembedahan mata, Khamis lalu.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan perkara itu ketika prosiding bermula pada 10.20 pagi di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Hakim kemudian membenarkan Najib diberikan cuti sehari dan mengarahkan mahkamah bersidang pada 9.30 pagi esok.

Terdahulu, hakim bertanya kepada peguam, sama ada perbicaraan kes berkenaan dapat diteruskan esok, dan Muhammad Shafee menjawab bahawa penglihatan Najib masih kurang jelas, malah beliau juga tidak dapat menandatangani sebarang cek.

Hakim Sequerah: Mungkin kita boleh bersidang esok untuk kes ini. Beri dia cuti hari ini, esok kita boleh bersidang…Esok kita bertemu di sini seperti biasa dan jika keadaan hematoma telah pulih, maka kita boleh teruskan.

Muhammad Shafee: Beliau (Najib) mempunyai ketidakupayaan sementara dan tidak mempunyai penglihatan yang jelas, malah beliau tidak dapat menandatangani cek.

Mendengar penjelasan itu, hakim memaklumkan bahawa Najib boleh hanya duduk di mahkamah esok.

Perbicaraan kes di mahkamah hari ini, sepatutnya bagi mendengar keterangan dari saksi pendakwaan ke-10 Mohd Hazem Abdul Rahman, 49, yang juga bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 1:19 PM