SEBAHAGIAN empat kru kapal layar ‘Sword Fish’ yang mengalami kerosakan di perairan Pulau Enggang, Langkawi dan diselamatkan Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Langkawi. FOTO IHSAN POLIS MARIN
SEBAHAGIAN empat kru kapal layar ‘Sword Fish’ yang mengalami kerosakan di perairan Pulau Enggang, Langkawi dan diselamatkan Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Langkawi. FOTO IHSAN POLIS MARIN
Hamzah Osman


LIMA pelayar berdepan detik mencemaskan apabila kapal layar dinaiki hanyut akibat mengalami kerosakan teknikal di perairan Pulau Enggang, Langkawi, semalam.

Dalam kejadian 11.15 malam itu, kapal layar Sword Fish dinaiki lima kru berusia 28 hingga 60 tahun berkenaan dilaporkan rosak selepas dipukul ombak kuat.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 12 tengah malam.

Menurutnya, pihaknya mengarahkan sepasukan anggota serta bot ronda ke lokasi kejadian bagi memberi bantuan sebelum kedudukan kapal layar itu berjaya dikesan pada 2 pagi.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diadakan berjaya menyelamatkan empat pelayar termasuk seorang wanita.

“Manakala, jurumudi kapal layar itu yang dilaporkan hilang sejurus kejadian berjaya diselamatkan sekumpulan nelayan tempatan, tidak lama kemudian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pasukan penyelamat turut berdepan kesukaran kerana bot ronda gagal merapat berikutan keadaan laut bergelora dan angin kuat.

“Dalam usaha menyelamat, empat kru terbabit terpaksa terjun dari kapal layar sebelum diselamatkan pasukan penyelamat yang bersiap sedia.

“Mereka kemudian dibawa ke Pangkalan Polis Marin di Bukit Malut, Langkawi manakala jurumudi kapal layar itu dibawa ke Kelab Perahu Layar Diraja Langkawi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 3:03 PM