Yusmizal Dolah Aling


PERGERAKAN Pemuda Umno Malaysia menggesa pemimpin politik berhenti bertelagah isu kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan memberi fokus kepada usaha menangani isu rakyat yang serius ketika ini.

Menyarankan agar semua pemimpin melakukan ‘gencatan politik,’ ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kepimpinan politik harus tumpukan kepada usaha untuk menangani isu dihadapi oleh rakyat terutamanya Covid-19.

Katanya, selain itu, isu ekonomi juga perlu diberi perhatian oleh kerajaan susulan kejatuhan harga minyak dunia yang akan memberi kesan langsung kepada rakyat.

“Hari ini terbentuknya kabinet kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dalam hal ini bagi saya adalah lebih baik seluruh kepimpinan politik baik kerajaan mahu pun pembangkang kita lakukan gencatan politik. Kita ketepikan perbalahan dan menangani isu rakyat pada hari ini.

“Marilah kita berdoa semoga Allah SWT menjauhkan kita dari wabak ini dan agar Allah buka jalan kepada wabak ini dalam kadar segera,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuatnaik di Facebook, hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan mengkritik komposisi menteri Umno dalam kerajaan PN pimpinan Muhyiddin yang disifatkan tidak adil kepada parti dominan.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman juga menyuarakan nada sama susulan pembentukan kabinet baharu, minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 6:12 PM