Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra semalam. FOTO BERNAMA
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra semalam. FOTO BERNAMA
Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Tindakan anggota Kabinet meletakkan jawatan hanya akan menyebabkan kerajaan di dalam keadaan tidak stabil dan menyukarkan usaha memerangi Covid-19 dan pembangunan negara.

Ini kerana dalam keadaan darurat ketika ini tumpuan sepatutnya diberikan kepada usaha membantu rakyat berdepan situasi ekonomi semasa.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, ini bukan masa yang sesuai untuk bercakap mengenai peletakan jawatan atau permintaan tertentu kepada pucuk pimpinan kerana kita berdepan situasi lebih getir.

"Saya melihat ini lebih kepada isu peribadi Umno selepas mendapat gesaan perwakilan dalam Perhimpunan Agung Umno, baru-baru ini.

"Tetapi sewajarnya ia tidak menjadi isu, sebaliknya pemimpin perlu meneruskan tugas untuk membantu rakyat seperti dilakukan sekarang," katanya.

Bagi penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi cara terbaik Umno sekarang ialah pergi ke jalan rundingan dengan mengadakan perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA).

Katanya, semua pihak tahu berdasarkan pembacaan semasa, tidak ada satu parti pun yang akan dominan jika berlaku pilihan raya dalam masa terdekat.

Menurutnya, perjanjian CSA ini banyak dipraktikkan di negara Komanwel bagi memastikan kerajaan itu stabil.

Beliau berkata, ahli Parlimen di sana menyokong satu sama lain untuk mewujudkan kerajaan yang dapat berkhidmat kepada rakyat.

Katanya, ia termasuklah situasi menang-menang kepada Umno dan dari situ parti berkenaan akan dapat dengan mengambil kira parti gabungan lain dengan kemungkinan penyertaan PH.

"Desakan ini berlaku bukan daripada mereka yang berada di dalam Kabinet namun kerajaan ini perlu disokong sehingga Covid-19 berlalu baik gabungan kerajaan dan pembangkang," katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, Umno kini berdepan dilema antara kesetiaan kepada parti dan amalan tradisi.

"Ahli Parlimen Umno yang menjadi sebahagian daripada gabungan yang membentuk kerajaan, mereka ada dua kesetiaan iaitu kepada parti dan presiden.

"Sebagai eksekutif di dalam Kabinet, mereka juga tertakluk kepada pentadbiran yang diketuai Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Segmen politik dalam Umno ketika ini dilihat berpecah-pecah namun mereka sepatutnya memberi keutamaan kepada isu rakyat," katanya.

Semalam Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, semua menteri daripada Umno akan terus kekal berada dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, kesepakatan itu dicapai selepas pertemuan beliau dengan menteri daripada Umno pada Isnin (29 Mac) yang meminta nasihat berhubung kedudukan mereka dalam Kabinet kerajaan PN.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 9:14 AM