AHMAD Fadhli Shaari. FOTO arkib NSTP
AHMAD Fadhli Shaari. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Selepas dua kali senarai rombakan kabinet tular di seluruh negara minggu lalu, satu senarai terbaru tular di media sosial.

Ia dikatakan akan diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin jam 3 petang hari ini.

Namun sehingga kini, tiada sebarang pengumuman mengenainya dibuat dan ia mengundang tanda tanya banyak pihak.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Kelantan Ahmad Fadhli Shaari ketika dihubungi berkata, beliau berada di Kelantan dan tidak tahu menahu mengenainya.

"Saya tidak tahu dan berada di kampung sehari dua ini. Saya nasihatkan rakyat tidak mempercayai mesej yang tular itu sebaliknya bersama-sama berusaha membangunkan negara," katanya yang kononnya disenaraikan sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dalam rombakan itu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ia adalah satu lagi senarai palsu dikeluarkan pihak tertentu untuk menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

"Senarai itu palsu. Ia cubaan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengalih tumpuan kepada usaha kerajaan berterusan mendepani Covid-19," katanya.

Beliau turut tersenarai kekal dengan jawatan dan di kementerian yang sama.

Dalam perkembangan lain, Wan Ahmad Fayhsal berkata, Armada meminta semua sayap parti mengetepikan sebarang sengketa dan menyambut seruan gencatan politik seperti dibuat Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.

Katanya, pihaknya sentiasa bersedia memainkan peranan aktif sebagai 'neutral ground' untuk menjayakan sebarang perbincangan ke arah itu.

Menurutnya, barisan pimpinan parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga perlu menzahirkan iltizam dan keikhlasan untuk menjayakan genjatan politik ini dengan mengelakkan sebarang kenyataan terbuka yang boleh mengeruhkan hubungan antara parti.

Dalam satu kenyataan semalam Ahmad Zahid berkata, Umno melakukan gencatan politik bagi memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat dan kerajaan untuk menangani Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 4:23 PM