MOHAMAD Abd Wahab (dua kiri) melihat keputusan STPM  2019  selepas Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2019, hari ini. FOTO Hazira Ahmad Zaidi.
MOHAMAD Abd Wahab (dua kiri) melihat keputusan STPM 2019 selepas Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2019, hari ini. FOTO Hazira Ahmad Zaidi.
Hazira Ahmad Zaidi


SERAMAI 68 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2019 di Kelantan memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00, berbanding 59 tahun sebelumnya.

Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Mohamad Abd Wahab berkata, sebanyak 51 daripada 59 sekolah bantuan kerajaan yang mendaftar untuk calon STPM memperoleh kelulusan penuh 100 peratus.

“Pencapaian PNGK calon sekolah bantuan kerajaan di negeri ini ialah 2.94 berbanding pencapaian peringkat nasional iaitu 2.77, sekali gus menunjukkan pencapaian peringkat negeri mengatasi peringkat nasional sebanyak 0.17 mata.

“Sementara, peratusan lulus penuh keseluruhan calon di negeri ini adalah 99.57 peratus dan mengatasi peratusan peringkat nasional sebanyak 1.0 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pengumuman Keputusan STPM Tahun 2019 di Bilik Mesyuarat Bunga Raya, JPN Tunjong, di Kota Bharu, hari ini.

Mohamad berkata, lima calon dari negeri ini iaitu Nur Izzati Mat Rodhi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Yunus, Bachok; Siti Aishah Mz Rozalan SMK Ayer Lanas, Jeli; Siti Nazira Sakiam; Fatin Nur Izzati Md Azmi; dan Mohamad Hafiza Ismail masing-masing dari SMK Tengku Panglima Raja, Pasir Mas dipilih pelajar terbaik peringkat nasional.

“Pencapaian sekolah di luar bandar merekodkan keputusan seiring dengan sekolah bandar.

“Ia berikutan pendekatan diambil guru, pentadbir, JPN, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dari segi latihan serta pengkhususan yang diadakan lebih menjurus kepada kecemerlangan,” katanya.

Jumlah keseluruhan calon mengambil STPM tahun lalu adalah 3,942.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 3:41 PM