DARI kiri Chiang, Sutarsan dan Nur Azira  menunjukkan keputusan masing-masing.
DARI kiri Chiang, Sutarsan dan Nur Azira menunjukkan keputusan masing-masing.
Oleh Mohamad Hussin

Jitra: Kejayaan tiga sahabat baik berlainan keturunan memperoleh keputusan cemerlang 4A dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2014 yang diumumkan, semalam, adalah hasil belajar berkumpulan dan semangat setiakawan antara mereka.

Nur Azira Ibrahim, Chiang Yi dan C Sutarsan, masing-masing berusia 20 tahun, diumumkan sebagai pelajar terbaik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jitra, di sini, dalam peperiksaan berkenaan.

Nur Azira yang juga anak bongsu daripada tiga beradik mengaku kesempitan hidup keluarga menjadi motivasi baginya dengan mengamalkan konsep 3B iaitu berusaha, berdoa dan bertawakal yang menjadi asas kejayaannya.

“Kami orang susah, namun emak cekal kerana dia mahu saya menjadi orang berguna dan berjaya dalam pelajaran mahupun kehidupan suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui di SMK Jitra, di sini, semalam.

Menurutnya, ibunya Aminah Janai, 61, terpaksa bekerja keras membesarkan mereka tiga beradik selepas kematian bapa, Ibrahim Shamsu.

“Malah, saya juga sentiasa menumpukan perhatian ketika berada di dalam kelas dan mengamalkan bacaan nota yang diambil ketika guru sedang mengajar. Pada waktu malam, saya membaca nota yang dibuat agar dapat mengingati apa dipelajari.

“Selain itu, keberkatan ilmu juga penting dan sebelum peperiksaan, saya berjumpa semua guru bagi memohon maaf dan meminta ilmu diajar mereka diberkati,” katanya.

Rahsia kejayaan itu dikongsi Chiang dan Sutarsan yang mengulang kaji pelajaran bersama-sama bagi memastikan impian mereka tercapai.

Sutarsan berkata, ibunya M Siyamala Devi, 44, seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai tukang cuci di Hospital Jitra, di sini, dengan pendapatan RM900 sebulan tidak pernah merungut membesarkannya dua beradik.

“Ayah meninggal dunia ketika saya berusia lima tahun akibat penyakit barah perut. Sejak itu, ibu mengambil alih tugas ayah dan membesarkan saya dan adik yang masih bersekolah di tingkatan empat,” katanya.

Bagi Chiang pula, kejayaan diperoleh itu hadiah kepada keluarga, guru dan rakan sekolah yang banyak membantunya sepanjang sesi persekolahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 9:28 AM