PASUKAN mencari dan menyelamat dari Ibu Pejabat Polis Kuala Pilah berjaya menemukan warga emas Orang Asli, Rahman Akob yang dilaporkan hilang kira-kira 200 meter dari rumahnya di Kampung Orang Asli Guntur, Batu Kikir.  FOTO Amran Yahya
PASUKAN mencari dan menyelamat dari Ibu Pejabat Polis Kuala Pilah berjaya menemukan warga emas Orang Asli, Rahman Akob yang dilaporkan hilang kira-kira 200 meter dari rumahnya di Kampung Orang Asli Guntur, Batu Kikir. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya


TIDAK sampai 24 jam dilaporkan hilang, seorang lelaki warga emas Orang Asli ditemui kira-kira 200 meter dari rumahnya di Kampung Guntur, Batu Kikir, Kuala Pilah, dalam keadaan selamat, 3 petang semalam.

Rahman Akob, 82, disedari hilang pada 8 malam 9 Mac lalu ketika ahli keluarga ingin menghantar hidangan makan malam kepadanya di anjung rumah.

Menurut cucunya, Baharom Bujang, 34, setiap hari datuknya akan duduk di kerusi dikhaskan di anjung rumah ketika makan sama ada sarapan pagi, tengah hari atau makan malam.

“Pada waktu kejadian, ibu saya mendapati datuk tiada di kerusinya dan beranggapan dia (datuk) pergi ke rumah cucunya yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

“Bagaimanapun, sebaik dimaklumkan datuk tiada, saya segera meminta bantuan penduduk kampung di sekitar kawasan rumah.

“Kami bergegas ke tiga kolam ikan berhampiran kerana bimbang berikutan datuk uzur selain mengalami masalah pendengaran, mata rabun serta asma,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Orang Asli Guntur.

Rahman berkata, selepas gagal dikesan, penduduk kampung meluaskan pencarian hingga ke Jeram Tengkek, Kampung Orang Asli Cergun serta Kampung Orang Asli Langkap.

Katanya, berikutan gagal menemui warga emas berkenaan, mereka membuat laporan polis di Balai Polis Batu Kikir pada 12 tengah hari semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan.

“Pasukan SAR dipecahkan kepada empat kumpulan dan setiap kumpulan diketuai oleh seorang ‘tracker’ Orang Asli serta bantuan orang awam.

“Usaha SAR berjaya menemui mangsa kira-kira 200 meter dari rumahnya pada 3 petang selepas kurang satu jam operasi dilancarkan.

“Ketika ditemui, mangsa dalam keadaan lemah dan tidak bertenaga sebelum dihantar ke klinik kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 3:09 PM