NORMAH dan anaknya Suhaimi menunjukkan gambar Abd Hamid. FOTO Amran Yahya.
NORMAH dan anaknya Suhaimi menunjukkan gambar Abd Hamid. FOTO Amran Yahya.
Amran Yahya


“SUDAH dua malam saya tidak dapat tidur bimbangkan keselamatan suami. Saya buntu memikirkan di mana suami berada,” kata Normah Talib, 67, mengenai suaminya yang hilang sejak Isnin lalu.

Pesara tentera, Abd Hamid Minhaj, 73, dikatakan keluar rumah di Kampung Jalan Anak Air Sepam, Rembang Panas di Kuala Pilah, kira-kira 9 pagi dan gagal dikesan sehingga kini.

Menurut Normah, kali terakhir melihat suami sedang membaca akhbar di anjung rumah, sebelum dia keluar mendapatkan rawatan susulan di Klinik Kesihatan Juasseh.

“Saya beritahu suami untuk ke klinik dan berpesan kepadanya supaya menjaga rumah dengan baik.

“Apabila saya pulang semula ke rumah kira-kira 12 tengah hari, suami sudah tiada selain pintu dan tingkap ditutup.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa dan beranggapan suami ke kebun atau Pekan Juasseh kerana itu rutin hariannya. Namun, sehingga petang suami tidak pulang menyebabkan saya risau,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuala Pilah, hari ini.

Normah berkata, dia cuba mencari suami di sekitar rumah sebelum seorang jiran memberitahu suami ada menumpang ke Pekan Juasseh untuk mengambil motosikal di bengkel.

“Alasan suami itu sangat pelik kerana motosikalnya tidak rosak dan disimpan di rumah,” katanya.

Menurutnya, dia menghubungi anak tunggal, Suhaimi Abd Hamid, 39, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, memaklumkan kehilangan itu.

Sementara itu, Suhaimi berkata, penduduk kampung membantu mencari bapa di Pekan Juasseh dan Kuala Pilah, namun gagal.

“Saya juga mencarinya di sekitar Seremban termasuk di stesen bas Terminal 1 dan stesen komuter.

“Selepas pelbagai usaha mencari ayah tidak membuahkan hasil, saya membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Pilah, 9 pagi semalam,” katanya yang turut menghebahkan kehilangan bapa menerusi media sosial.

Orang ramai yang mempunyai maklumat dan melihat Abd Hamid diminta menghubung Suhaimi di talian 06-4984549 dan 010-7976201 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 2:23 PM