Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap (kanan) bertanya sesuatu kepada Zairiman Aziz ketika melawat keluarga terbabit di Kampung Guntur, Batu Kikir. FOTO Amran Yahya.
Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap (kanan) bertanya sesuatu kepada Zairiman Aziz ketika melawat keluarga terbabit di Kampung Guntur, Batu Kikir. FOTO Amran Yahya.
Amran Yahya


Kuala Pilah: Nasib tiga beranak yang tinggal di pondok usang di Kampung Guntur, Batu Kikir, di sini, sejak tiga tahun lalu dan tular di media sosial mendapat perhatian Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Kuala Pilah.

Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan permasalahan dan rintihan dihadapi masyarakat.

Beliau berkata, pihaknya menolak dakwaan sesetengah pihak mengatakan Pejabat Daerah menolak permohonan Zairiman Aziz, 43, untuk mendapatkan rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

"Sebaik menerima permohonan, kami turun padang pada 12 September 2019 dan mendapati pemohon (Zairiman) tergolong dalam miskin tegar seterusnya didaftarkan di bawah e-Kasih.

"Seterusnya, pada 20 April lalu, kami memajukan permohonannya ke Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi memohon pembinaan sebuah rumah PPRT untuk dia sekeluarga iaitu bersama isteri, Nur Elina Atan, 20, serta anaknya, Nur Jannah Batrisya berusia setahun lapan bulan.

"Namun, ketika itu negara menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19 dan ini ia sebanyak mengganggu proses itu," katanya.

Mohd Faizal berkata, pada dasarnya permohonan rumah PPRT Zairiman sudah mendapat perhatian kerajaan dan nama beliau dimasukkan dalam senarai menunggu.

Bagaimanapun, katanya, kes itu ditularkan ketika proses sedang berjalan dan mereka akan berusaha sedaya upaya supaya kes itu diambil tindakan segera dan permohonan dapat diluluskan secepat mungkin.

"Berdasarkan temu bual wakil Pejabat Daerah bersama ahli keluarga terdekat, pemohon sudah berkali-kali diminta ahli keluarganya untuk tinggal bersama-sama mereka di sebuah rumah tidak jauh dari situ sehingga bantuan rumah diberikan itu siap.

"Tetapi pemohon mengatakan beliau ingin berdikari dan tidak mahu mengharapkan bantuan orang lain," katanya.

Mohd Faizal berkata, selain Pejabat Daerah, beberapa agensi kerajaan lain turut hadir menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada keluarga terbabit.

Beliau berkata, ia termasuk Pejabat Baitulmal Daerah Kuala Pilah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Agama Islam (Unit Mualaf).

"Saya ingin menjelaskan kekeliruan berhubung penularan video terbabit yang kononnya keadaan mangsa amat menyedihkan dan seolah-olah tidak pernah mendapat perhatian daripada pihak terbabit.

"Namun, alangkah baiknya jika pihak terbabit datang serta berhubung dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta penyelaras DUN jika niat mereka ingin sama-sama membantu keluarga terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 5:42 PM