Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang wanita warga emas daripada rentung dalam kebakaran di Jalan Changkat Jong, Kampung Muhibbah, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 9.45 pagi itu, mangsa berusia 78 tahun yang terperangkap di dapur rumahnya dibantu anggota bomba yang membuat pemeriksaan.

Difahamkan, ketika kejadian wanita itu tinggal berseorangan, manakala adik lelakinya dikatakan keluar minum di kedai berhampiran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Ismail Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.48 pagi sebelum sepasukan anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi.

ANGGOTA bomba memadam kebakaran rumah dan menyelamatkan seorang wanita warga emas yang terperangkap dalam kebakaran itu di Jalan Changkat Jong. FOTO ihsan BOMBA.
ANGGOTA bomba memadam kebakaran rumah dan menyelamatkan seorang wanita warga emas yang terperangkap dalam kebakaran itu di Jalan Changkat Jong. FOTO ihsan BOMBA.

Menurutnya, operasi turut dibantu BBP Hutan Melintang, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan dan PBS Batu 12.

"Sebaik tiba, kami mendapati sebuah rumah kelas B sudah terbakar 80 peratus dan ada seorang mangsa ditemui terperangkap di bahagian dapur.

"Anggota kemudian berjaya membawa mangsa keluar melalui pintu belakang rumah. Mangsa yang tidak berdaya berjalan dan kurang daya penglihatan itu tidak cedera," katanya ketika dihubungi.

Katanya, setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 1:25 PM