ABDUL Hadi (tengah), Ahmad Samsuri (kanan) dan Abdul Malik (kiri) pada sidang media. FOTO ihsan PAS
ABDUL Hadi (tengah), Ahmad Samsuri (kanan) dan Abdul Malik (kiri) pada sidang media. FOTO ihsan PAS
Baharom Bakar

PAS menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk memilih barisan menteri Kabinet di kalangan pemimpin parti itu.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan, pihaknya hanya menyerahkan cadangan konsep, terutamanya mengambil kira masyarakat majmuk termasuk bukan Islam untuk menganggotai barisan Kabinet.

Tegasnya, walaupun pemimpin parti bukan Islam tidak ramai dalam Perikatan Nasional (PN) tetapi mereka perlu dilantik daripada kalangan yang menyokong, selain golongan profesional dan juga ahli parlimen dari Sabah serta Sarawak.

“PAS menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk menilai, tetapi tentulah akan mengambil kira jumlah kerusi parti komponen dalam PN.

“Walaupun jumlah kerusi kalangan bukan Islam sedikit, tetapi kita perlu mengambil kira sokongan mereka kepada Perdana Menteri,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan kuliah Dhuha, di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Seriausaha Akhbar kepada Presiden PAS, Abdul Malik Ab Razak.

Ketika mengulas cadangan mahukan dia dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan, beliau mengambil sikap keterbukaan kepada Perdana Menteri tetapi tidak mewajibkan dirinya dipilih.

Jelasnya, dia sanggup menjadi nelayan kerana hanya mahu bekerja untuk negara, apatah lagi pencalonan itu datang daripada rakyat biasa,sedangkan pelantikan mestilah daripada pencalonan oleh Perdana Menteri.

“Ada orang syok kalau orang calonkan dia... tetapi saya tak syok orang calonkan saya dan kita mengharapkan semuanya yang bakal dilantik kalangan yang sanggup bekerja kuat,” katanya.

Abdul Hadi menegaskan, tumpuan utama ketika ini adalah menyelesaikan masalah rakyat terutamanya membabitkan kos sara hidup, ekonomi, gejala sosial, isu perpaduan, selain masalah pembangunan insan yang mesti diberi perhatian.

Tegasnya, PAS tetap beristiqamah, konsisten dengan pendirian iaitu memilih anggota Kabinet yang punya integriti, bersih, berkepakaran dan terdiri daripada kalangan ahli politik serta profesional.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 12:24 PM