ABDUL Hadi. FOTO BERNAMA
ABDUL Hadi. FOTO BERNAMA
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Pas merakamkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob di atas perlantikannya sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Ucapan tahniah itu dimuatnaik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di laman Facebooknya, hari ini.

"Parti Islam Se-Malaysia (Pas) menjunjung kasih titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memperkenankan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9.

"Pas mengucapkan setinggi tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikan ini dan mendoakan agar sentiasa dikurniakan taufiq dan hidayah-Nya bagi melaksanakan tanggungjawab yang amat berat ini.

"Pas menyeru semua pemimpin dan rakyat untuk menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong ini bagi membolehkan kerajaan meneruskan segala usaha untuk menangani pandemik Covid-19, memulihkan ekonomi dan memperkukuh perpaduan dalam negara," katanya.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan melantik Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Pelantikan Ahli Parlimen Bera sebagai Perdana Menteri itu selepas Ismail Sabri menerima sokongan 114 Ahli Parlimen, sekali gus majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan, selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan, 16 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 7:53 PM