Hamzah (kiri) ketika lawatan di Pasar Pagi Sentul, Kuala Lumpur.
Hamzah (kiri) ketika lawatan di Pasar Pagi Sentul, Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur: Peniaga di pasar yang mengamalkan etika jual beli, bersikap ramah, jujur dan murah hati akan disenarai pendek untuk pemilihan calon anugerah khas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tahun depan.

Menterinya Datuk Hamzah Zainudin berkata, KPDNKK akan meneruskan penguatkuasaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2015 di pasar seluruh negara sambil membuat penilaian sampingan.

“Dalam lawatan saya bersama pegawai KPDNKK hari ini (semalam) umpamanya, kita bukan saja hendak melihat harga, tapi turut menilai kecantikan, apa yang peniaga buat, sikap ramah mesra mereka dan inisiatif diambil sempena musim perayaan.

“Kita akan ambil nama (peniaga) yang berpotensi untuk kita calonkan sebagai penerima anugerah. Antaranya, kita akan namakan sebagai peniaga paling ramah, peniaga yang menurunkan harga di bawah paras siling dan lain-lain yang berkaitan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan bersama pegawai serta anggota penguat kuasa KPDNKK di Pasar Pagi Sentul, Jalan Sentul di sini, semalam.

Jelas Hamzah, penamaan calon itu adalah sebahagian daripada strategi kementerian untuk melihat sejauh mana etika peniaga ketika melariskan hasil jualan mereka.

Dalam pada itu, Hamzah berpuas hati dengan pelaksanaan skim kawalan harga di Pasar Pagi Sentul.

“Menurut pemerhatian saya, walaupun kita ada harga siling, sebilangan peniaga di sini masih menjual pada harga yang terlampau murah.

“Sebagai contoh, harga siling bagi satu kilogram (kg) tomato adalah RM4.50, tetapi mereka menjual pada harga RM4 hingga RM3 sekilogram.

“Kambing pula kita tetapkan harga siling RM36 sekilogram, tapi ada yang jual pada harga RM35 dan RM34.50 sekilogram. Ini menunjukkan wujudnya kuasa pasaran dan peniaga bersaing menurunkan harga,” katanya.

Begitupun, Hamzah mengakui menerima rungutan daripada peniaga berhubung penetapan harga siling kacang dal yang didakwa terlalu rendah.

“Memang harga yang kita kawal itu (RM3.50 sekilogram) betul-betul rendah sampaikan ada yang merungut tak ada untung.

“Namun saya katakan kepada mereka, untuk 10 hari ini biarlah tidak untung asalkan kita dapat membantu kaum India membuat persiapan menyambut Deepavali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2015 @ 12:25 PM