PELBAGAI produk seperti ikan, ayam, daging, sayur-sayuran serta pelbagai produk asas tani akan dijual pada harga murah di Bazar Peduli Rakyat. FOTO Khairunisah Lokman
PELBAGAI produk seperti ikan, ayam, daging, sayur-sayuran serta pelbagai produk asas tani akan dijual pada harga murah di Bazar Peduli Rakyat. FOTO Khairunisah Lokman
Abnor Hamizam Abd Manap

ORANG ramai sekitar Jelebu berpeluang mendapatkan barangan makanan berharga lima hingga 30 peratus lebih murah menerusi program Bazar Peduli Rakyat Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Klawang, Negeri Sembilan, esok.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian Dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Bakri Sawir berkata program itu diadakan di Pusat Khidmat DUN Klawang bermula jam 2.15 petang hingga 7 malam.

Menurutnya, pelbagai produk seperti ikan, ayam, daging, sayur-sayuran serta pelbagai produk asas tani akan dijual pada program berkenaan.

“Sebanyak 35 lot jualan membabitkan 35 usahawan sekitar Jelebu terbabit pada program berkenaan.

“Kita mensasarkan 2,000 pengunjung hadir bagi mendapatkan barang keperluan harian yang mampu menjimatkan kos perbelanjaan mereka,” katanya ditemui di sini.

Bakri yang juga ADUN Klawang berkata pihaknya turut bekerjasama dengan tiga agensi iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Kaunter perkhidmatan pelanggan juga akan dibuka oleh agensi berkaitan selain solat maghrib berjemaah dan tazkirah khas oleh penceramah dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

“Bazar ini dianjurkan sebagai mekanisma untuk membantu rakyat dalam mengurangkan kos sara hidup terutama golongan B40,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 5:01 PM