MOHAMAD Khalies bergambar dengan isterinya Giovanna Khadija dan keluarga di Tanah Becah Setiu. FOTO FB Mohamad Khalies Hami Hamzah
MOHAMAD Khalies bergambar dengan isterinya Giovanna Khadija dan keluarga di Tanah Becah Setiu. FOTO FB Mohamad Khalies Hami Hamzah
Ahmad Rabiul Zulkifli


“SERONOK dapat membawa ahli keluarga mengunjungi tempat menarik sambil menyelami budaya dan adat di negeri ini,” kata Giovanna Khadija Wolswijk,25.

Warga Itali itu sebelum ini mendapat liputan media selepas berkahwin dengan Mohamad Khalies Hami Hamzah, 35, dari Kampung Kubang Tangga pada 14 Februari lalu.

Giovanna berkata, suaminya membawa dia bersama keluarganya melawat tempat menarik di negeri ini.

“Terengganu mempunyai banyak lokasi tumpuan pelancong yang sangat unik dan sukar diperolehi di negara lain.

“Kami ke Pulau Kapas, Kampung Duyong, Pasar Kedai Payang, Pantai Pulau Kekabu dan Kawasan Tanah Becah Setiu, ” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Giovanna Khadija, penuntut sarjana di Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memeluk Islam selepas tersentuh setiap kali mendengar alunan al-Quran daripada pembesar suara masjid UMT pada 18 Jun tahun lalu.

Giovanna berkata, selain berkunjung ke tempat tumpuan pelancong, dia dan keluarga turut dibawa ke kedai makanan tradisional di negeri ini.

“Pelbagai jenis makanan tradisional dan makanan kegemaran orang Melayu yang kami cuba sepanjang seminggu keluarga berada di negeri ini.

“Nasi dagang, keropok lekor, mee goreng dan nasi lemak antara menu yang kami gemari selain turut mencuba roti tempayan yang terkenal di Kampung Gong Balai,” katanya.

Menurutnya, dia juga mengambil kesempatan menerangkan kepada ahli keluarganya mengenai bidang penyelidikan yang dijalankan UMT berkaitan hutan paya bakau.

“Memandang keluarga kali pertama datang ke negara ini, saya dan suami membawa mereka ke kawasan Tanah Becah, Setiu untuk melihat keunikan hutan paya bakau di situ,” katanya.

Giovanna berkata, suami dan keluarga mentuanya melayan dia dengan sangat baik malah membimbing mendalami Islam.

“Banyak ilmu berkaitan hukum hakam agama yang baru dipelajari daripada suami dan jika ada rezeki, saya dan suami bercadang mengerjakan umrah,” katanya.

Menurutnya, dia dan suami kini menjadikan aktiviti berbasikal sebagai kegiatan riadah sambil meneroka tempat menarik di kawasan kampung pada waktu lapang.

Berita berkaitan

Bermulanya cinta daripada ucapan tahniah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 1:33 PM