GIOVANNA bersama Mohamad Khalies selepas selesai menunaikan solat tarawih. FOTO ihsan Mohamad Khalies Hami Hamzah
GIOVANNA bersama Mohamad Khalies selepas selesai menunaikan solat tarawih. FOTO ihsan Mohamad Khalies Hami Hamzah
Ahmad Rabiul Zulkifli


"SERONOK berbuka puasa dan bertarawih dengan suami cuma hasrat merasai suasana menunaikan solat tarawih di masjid tidak kesampaian kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," kata Giovanna Khadija Wolswijk, 25, ketika dihubungi, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, penuntut Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu memeluk Islam selepas tersentuh setiap kali mendengar alunan al-Quran daripada pembesar suara masjid UMT pada 18 Jun 2019.

Warga Itali itu kemudian berkahwin dengan Mohamad Khalies Hami Hamzah, 35, dari Kampung Kubang Tangga pada 14 Februari lalu.

Giovanna berkata, dia belajar berpuasa sejak Ramadan tahun lalu ketika berada di Belgium.

"Saya berpuasa di Belgium selama 19 jam iaitu lebih panjang waktunya berbanding di Malaysia, oleh itu pengalaman berpuasa di sini menyeronokkan kerana waktu lebih singkat.

"Sebelum Ramadan dan sejak PKP saya juga sudah mula berpuasa sunat Isnin dan Khamis.

"Tidak terasa sangat berpuasa di sini kerana tempoh berpuasa singkat tetapi tetap memberi cabaran tersendiri berikutan cuaca yang panas," katanya.

Dia berkata, dia dan Mohamad Khalies merancang menunaikan solat tarawih di beberapa masjid utama di daerah ini.

"Suami selalu bercerita mengenai kemeriahan menyambut Ramadan di negeri ini termasuk solat tarawih di masjid dan bazar Ramadan.

"Bagaimanapun PKP menyebabkan perancangan saya dan suami tidak dapat dijalankan pada Ramadan kali ini.

"Nampaknya saya perlu tunggu tahun hadapan untuk merasai pengalaman menyambut Ramadan seperti yang diceritakan suami itu," katanya.

Menurutnya, PKP menyebabkan dia dan suami banyak meluangkan masa bersama di rumah.

"Suami terpaksa berkerja daripada rumah seterusnya memberi peluang kepada kami untuk menunaikan solat berjemaah setiap waktu solat.

"Selepas menunaikan solat fardu, saya akan belajar al-Quran dengan suami dan menyahut cabaran yang diberikan suami untuk membaca satu muka surat al-Quran sehari sepanjang Ramadan," katanya.

Sementara itu, Mohamad Khalies berkata, dia berasa bertuah kerana isterinya itu cepat menyesuaikan diri dengan adat dan budaya orang Melayu.

"Giovanna tidak cerewet dalam makanan, oleh itu apa saja masakan atau jenis makanan yang disediakan untuk berbuka puasa dimakan tanpa rungutan.

"Biasanya Giovanna mengambil makanan ringan dulu seperti kurma atau kuih muih ketika berbuka.

"Selepas menunaikan solat tarawih, Giovanna akan makan makanan berat seperti nasi atau mee goreng dan bersahur dengan oat dan kurma," katanya.

Menurutnya, Ramadan dan PKP ialah peluang untuk dia mengajar isterinya mengenai ajaran Islam terutama membaca al-Quran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 4:09 PM