MOHAMAD Khalies dan Giovanna bersama anak mereka, Khalifa Nur Eliana (kiri) dan Khalifa Luna Yasmina. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
MOHAMAD Khalies dan Giovanna bersama anak mereka, Khalifa Nur Eliana (kiri) dan Khalifa Luna Yasmina. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Kehadiran cahaya mata kedua memberi lebih makna buat Mohamad Khalies Hami Hamzah, 39, bersama pasangannya, Giovanna Khadija Wolswijk, 29.

Khalies sebelum ini pernah tular apabila berkahwin dengan Giovanna yang berasal dari Itali selepas wanita yang juga penuntut Sarjana di Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memeluk Islam.

Giovanna memeluk Islam selepas tersentuh hati setiap kali mendengar alunan al-Quran daripada pembesar suara masjid UMT pada 18 Jun 2019.

Selepas empat tahun berkahwin, pasangan itu dikurniakan dua anak perempuan iaitu Khalifa Nur Eliana, 2, dan Khalifa Luna Yasmina berusia enam bulan.

Khalies berkata, kehidupannya kini semakin lengkap apabila menerima kehadiran anak kedua pada 24 Oktober 2022.

"Saya sangat bahagia sekarang bersama Gio dan anak-anak, mereka melengkapkan hidup saya dan keluarga.

"Sebelum ini saya menghadapi kesukaran dalam usaha mencari jodoh, kerap putus cinta dan dikecewakan sehingga pernah berasa putus asa untuk mendirikan rumah tangga.

"Bagaimanapun berkat doa dan kesabaran, akhirnya pada usia 35 tahun saya bertemu Gio dan berkahwin dengannya," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Dia berkata, dia sebenarnya berbelah bagi juga untuk berkahwin dengan warga asing dan mualaf kerana bimbang tidak mampu mengalas tanggungjawab sebagai suami.

"Maklumlah, Gio berasal dari Itali dan baru memeluk Islam saya berada sangsi sekiranya tidak mampu membimbingnya menjadi isteri dan Muslimah yang baik.

"Bagaimanapun semua berjalan lancar, Gio cepat menyesuaikan diri dengan budaya orang Melayu dan mendalami ilmu agama malah sekarang sudah boleh membaca al-Quran dengan baik," katanya yang berkerja sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian dan Operasi) UMT.

Sementara itu, Gio berkata, dia bersyukur kerana dipertemukan dengan suaminya itu yang banyak membantunya mendalami agama Islam.

"Saya berkahwin selepas beberapa bulan memeluk Islam, saya tertarik dengan Islam kerana keindahannya.

"Oleh itu sekarang saya sudah boleh membaca al-Quran dan mengetahui ilmu fardu ain melalui bimbingan suami," katanya.

Menurutnya, dia masih dalam proses belajar bahasa Melayu dan sering menggunakan bahasa Melayu di rumah.

"Walaupun tidak fasih sepenuhnya bertutur dalam bahasa Melayu namun kemampuan saya berbahasa Melayu jauh lebih baik berbanding empat tahun lalu," katanya.

Katanya, dia dan suaminya tidak bercadang berpindah ke Itali dan tinggal bersama keluarganya di sana kerana sudah mula berasa selesa berada di Malaysia.

"Walaupun saya sudah memeluk Islam dan berkahwin dengan orang Melayu, hubungan baik dengan keluarga tidak putus malah setiap hari saya hubungi keluarga di Itali.

"Keluarga di sana sudah dua kali datang ke Terengganu melawat kami sekeluarga dan mereka sangat gembira bermain dengan cucu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 12:12 PM