ANTARA GRO yang ditahan pada serbuan di sebuah pusat hiburan di Puchong, Selangor, semalam. FOTO NSTP
ANTARA GRO yang ditahan pada serbuan di sebuah pusat hiburan di Puchong, Selangor, semalam. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


CUBAAN beberapa wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing cuba melarikan diri dengan bersembunyi dalam parit di luar premis gagal apabila mereka ditahan pada serbuan di sebuah pusat hiburan di Puchong, Selangor, semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, 17 anggota ‘Quick Response Team’ (QRT) JIM menyerbu premis terletak di tingkat tiga itu, jam 11 malam.

Katanya, premis itu menyediakan khidmat GRO warga asing sebagai peneman pelanggan selain sebagai penghidang minuman keras.

“Setiap GRO akan menerima 15 peratus daripada harga minuman keras dipesan mereka buat pelanggan sebagai tips.

“Ketika serbuan, premis ini sedang membuat pesta istimewa sempena sambutan Tahun Baharu Cina. Apabila menyedari kehadiran kami, penjaga premis mengarahkan GRO melarikan diri melalui pintu dan laluan rahsia.

“Beberapa kenderaan sudah menunggu di luar premis untuk membawa lari GRO. Malah ada GRO bersembunyi dalam parit di luar premis, namun gagal,” katanya pada kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, pihaknya menahan 22 wanita warga asing terdiri daripada 20 wanita Thailand dan dua wanita Vietnam.

Turut ditahan seorang lelaki warga Bangladesh serta empat lelaki tempatan yang disyaki menjadi dalang menguruskan GRO dan pemandu bagi membawa lari wanita terbabit.

“Siasatan awal mendapati mereka juga menjalankan aktiviti kalungan bunga dan tiara untuk pelanggan yang menempah GRO pilihan dengan harga antara RM50 hingga RM1,000 bagi setiap kalungan.

“Kami turut merampas RM4,921 dan menyita BMW F30, Honda Accord, Honda Civic dan Proton Persona yang digunakan untuk membawa lari GRO,” katanya.

Beliau berkata, sembilan notis untuk hadir memberi keterangan dikeluarkan kepada penyelia, pekerja dan juga pelanggan yang berada dalam premis ketika serbuan bagi membantu siasatan.

“Antara kesalahannya ialah tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa.

“Semua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 5:04 PM