SUSPEK berjaya ditangkap selepas kenderaan yang dinaikinya terbabas masuk ke dalam longkang, di Batu Pahat, semalam. FOTO ihsan Pembaca
SUSPEK berjaya ditangkap selepas kenderaan yang dinaikinya terbabas masuk ke dalam longkang, di Batu Pahat, semalam. FOTO ihsan Pembaca
Essa Abu Yamin


DUA penjenayah cedera selepas kenderaan dipandu terbabas ke dalam longkang di Kilometer 12, Jalan Kluang-Batu Pahat, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, dalam kejadian jam 2.30 petang, suspek yang berumur 28 dan 29 tahun dalam cubaan mencuri kereta lain di sebuah pusat membeli-belah di daerah ini tetapi gagal.

"Orang awam yang menyedari kejadian itu kemudian mengejar suspek yang melarikan diri sejauh lapan kilometer sebelum kenderaan yang dinaiki mereka hilang kawalan dan melanggar pokok lalu terhumban ke dalam longkang.

"Mereka dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan semakan mendapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan termasuk dadah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Azhan, kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Batu Pahat untuk mendapatkan perintah reman bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri kenderaan.

"Pihak polis berterima kasih atas kerjasama daripada masyarakat dalam membantu pihak berkuasa mencegah jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 11:40 AM