Mohd Hilmie Hussin


BEKAS pengerusi Masjid Al-Hamideen, Bukit Cina mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas tuduhan menipu membabitkan penjualan tanah wakaf milik masjid terbabit, kira-kira 12 tahun lalu.

Tertuduh Moktar Ali, 61, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi, selepas mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu Ahli Lembaga Masjid Al-Hamideen dengan memperdaya mereka hingga bersetuju menjual tanah milik masjid terbabit di Mukim Kawasan Bandar kepada ahli perniagaan, Yong Lang Yeow.

Moktar memberi alasan bahawa Masjid Al-Hamideen mengalami masalah kewangan serius dan menanggung beban hutang cukai tanah tinggi sedangkan masjid terbabit mempunyai dana cukup dalam akaun banknya.

Kesalahan itu dilakukannya sekitar Disember 2005 hingga Januari 2006 di Kampung Bukit Cina.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara hingga 10 tahun dan dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Laila Mohamed Nazil manakala tertuduh diwakili Sulaiman Harmain Shah.

Meor Sulaiman menetapkan 9 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan Moktar ditawar jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 1:35 PM
MOKHTAR (tengah) diiringi pegawai SPRM ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
MOKHTAR (tengah) diiringi pegawai SPRM ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan