Rizanizam Abdul Hamid


Melaka: Mahkamah Majistret di sini, hari ini membenarkan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dua bekas ahli jawatankuasa (AJK) masjid bagi membantu siasatan menerima wang rasuah sebanyak RM116,000 dalam urusan jual beli tanah wakaf milik Masjid Al-Hamideen di Melaka lima tahun lalu.

Penolong Pendaftar Majistret Mahkamah Melaka Mohd Anuar Ostadi mengeluarkan perintah reman selama empat hari terhadap kedua-dua lelaki berusia 61 dan 46 tahun itu bermula hari ini sehingga Sabtu ini.

Kedua-dua suspek ditahan ketika hadir ke pejabat SPRM Melaka untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes berkenaan, kira-kira 7 malam tadi.

Terdahulu, kedua-dua lelaki terbabit dibawa pegawai SPRM menaiki Proton Preve dan Toyota Fortuner tiba di pekarangan mahkamah jam 10.40 pagi.

Harian Metro semalam melaporkan kedua-dua individu yang ditahan membabitkan bekas pengerusi dan bekas setiausaha masjid di Bukit Cina, Melaka.

Laporan menyebut, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan kesalahan berkenaan pada 2012.

Akhbar dipetik berkata, tanah wakaf milik Masjid Al-Hamideen yang terletak di Kampung Bukit Cina, Melaka disyaki sudah dijual kepada seorang lelaki Cina tanpa melalui proses yang sah

Difahamkan, kedua-dua suspek sudah menerima wang rasuah dengan menjual tanah yang diamanahkan kepada mereka untuk kepentingan peribadi.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 405 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 12:27 PM
Dua bekas AJK masjid (baju merah dan menutup muka) direman empat hari bagi membantu siasatan menerima wang rasuah sebanyak RM116,000 dalam urusan jual beli tanah wakaf milik Masjid Al-Hamideen di Melaka lima tahun lalu. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Dua bekas AJK masjid (baju merah dan menutup muka) direman empat hari bagi membantu siasatan menerima wang rasuah sebanyak RM116,000 dalam urusan jual beli tanah wakaf milik Masjid Al-Hamideen di Melaka lima tahun lalu. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan