KEADAAN motosikal yang ditunggang mangsa rosak teruk. Muhammad Syaiful Azwa (gambar kecil). FOTO Ihsan Polis.
KEADAAN motosikal yang ditunggang mangsa rosak teruk. Muhammad Syaiful Azwa (gambar kecil). FOTO Ihsan Polis.
Ramli Ibrahim


LELAKI maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas sebelum melanggar penghadang jalan di Kilometer 34 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Gua Musang, malam tadi.

Muhammad Syaiful Azwa Mahadi, 23, berasal dari Kampung Gong Mak Som Alor Lintah, Jerteh, Terengganu maut di tempat kejadian kerana parah di leher.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kemalangan berlaku pada 8.20 malam ketika mangsa menunggang motosikal dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

Katanya, sebaik sampai ke lokasi motosikal jenis Yamaha R15 ditunggangi mangsa hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

“Keadaan jalan licin kerana lepas hujan menyebabkan mangsa terbabas dan merempuh penghadang jalan.

“Mangsa terpelanting tidak jauh dari situ bersama motosikalnya dalam keadaan leher cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mohd Taufik berkata, mangsa bekerja di sebuah hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan dalam perjalanan ke Tanah Merah.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal keseorangan terbabas sendiri di kawasan selekoh.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum jenazah dituntut keluarganya untuk dikebumikan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 10:57 AM