Ramli Ibrahim


EMPAT individu yang cedera selepas Honda City dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai di Kilometer 64 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, hari ini, dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, kereta terbabit terbabas ketika cuba memotong kenderaan lain.

Mangsa dikenali sebagai pemandu, Mohamad Fazril Kasim, 25, penumpang depan, Nurul Azren Yahya, 23, penumpang belakang, Kamariah Jusof, 50, dan Siti Sarah Abdullah, 59.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kejadian itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

Katanya, sebaik sampai ke lokasi, kereta itu cuba memotong kenderaan lain dalam keadaan hujan dan jalan basah.

Beliau berkata, kereta terbabit hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan sebelum menjunam ke sungai.

"Kita mengambil masa untuk mengenal pasti identiti mangsa kerana mereka menerima rawatan kecemasan di hospital," katanya hari ini.

Mohd Taufik berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987.

Berita berkaitan

4 parah, kereta terjunam dalam sungai

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 8:38 PM