PRODUK yang dirampas. FOTO Ihsan MAQIS
PRODUK yang dirampas. FOTO Ihsan MAQIS
Syaherah Mustafa


TINDAKAN selamba tiga warga Singapura yang membawa produk daging babi di dalam plastik seberat 70 kilogram (kg) tanpa permit sah berjaya dikesan

anggota Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Pengarah MAQIS Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, produk terbabit dirampas selepas anggotanya dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memeriksa 10 warga Singapura yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini, pada 5.30 petang, semalam.

Menurutnya, dua lelaki dan seorang wanita yang kesemuanya dalam linkungan 50 an daripada kumpulan terbabit didapati membawa produk daging babi itu termasuk ubi keledek tanpa dokumen yang sah.

“Hasil siasatan, produk ini tidak mempunyai permit import yang dikeluarkan oleh Jabatan MAQIS dan sijil kesihatan negara asal. Mereka yang terbabit mengakui kesemua daging ini dibawa untuk kegunaan sendiri.

“Malah, mereka dengan selamba membawa plastik di tangan yang berisi daging babi tanpa mengendahkan undang-undang yang tidak membenarkan mengimport tumbuhan, binantang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah atau mikroorganisma tanpa permit,” katanya.

Mohd Azam berkata kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali sepertimana yang diperuntukkan pada Seksyen 11(1) akta yang sama.

Beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan peka dalam pemilihan makanan yang terdedah kepada risiko kesihatan selain tertakluk larangan kerajaan terhadap pengimportan daging babi yang dikhuatiri terdedah wabak penyakit African Swine Fever (ASF).

“Virus ASF memberi kesan buruk untuk jangka masa panjang, justeru mohon semua pelancong untuk mematuhi larangan pengimportan babi selain memastikan makanan yang masuk ke Malaysia mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan oleh kerajaan.

“MAQIS sentiasa memantau setiap kemasukan keluaran pertanian melalui pintu-pintu masuk yang sah supaya isu membabitkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak bahaya dapat dibendung serta dikawal,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 4:41 PM