MAYAT wanita OKU yang maut selepas rumahnya terbakar. FOTO Ihsan Bomba.
MAYAT wanita OKU yang maut selepas rumahnya terbakar. FOTO Ihsan Bomba.
Balqis Jazimah Zahari


WANITA orang kurang upaya (OKU) penglihatan dan pendengaran maut akibat sesak nafas selepas rumahnya di Kampung Ara Payung, Batu Gajah, terbakar, hari ini.

Difahamkan, dalam kejadian pada 1.10 tengah hari, mangsa Alang Halimah Amban, 70, yang tinggal seorang diri melecur 20 peratus.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kebakaran kediaman berkenaan berjaya dipadamkan pihak bomba pada 1.45 tengah hari.

“Anggota bomba yang masuk ke dalam rumah menemui mangsa dalam keadaan terbaring di lantai dapur.

“Mangsa kemudian dibawa keluar dalam keadaan api sedang marak, dan berdasarkan maklumat pihak bomba, wanita itu disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan,” katanya.

LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat.

Katanya, bedah siasat dijalankan pada 4 petang tadi mendapati punca kematian mangsa adalah sesak nafas akibat terhidu asap tebal.

“Ketika ini, kejadian berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan pasukan forensik bomba masih berada di lokasi kejadian bagi melakukan siasatan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 1.11 tengah hari sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.

Menurutnya, kebakaran membabitkan rumah Kelas C yang musnah terbakar dan terdapat seorang mangsa wanita warga emas di dalamnya.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 5:24 PM