Balqis Jazimah Zahari


“KAMI sudah mengajaknya tinggal bersama, tetapi mak memang tidak mahu kerana dia hendak duduk di rumah sendiri.”

Begitu kata Rohaya Razali, 45, anak kepada wanita orang kurang upaya (OKU) penglihatan dan pendengaran Alang Halimah Amban, 70, yang maut akibat sesak nafas selepas rumahnya di Kampung Bendera, Ara Payung, Batu Gajah, terbakar, hari ini.

Rohaya yang juga anak kedua arwah berkata, ketika kejadian ibunya tinggal seorang diri kerana adik lelakinya yang sekali-sekala menemani keluar bekerja.

“Kita memang sudah bawa mak balik ke rumah, tetapi dia tidak mahu, kerana mahu duduk di rumah itu juga.

“Saya yang duduk dekat dengan dia memang akan datang setiap hari untuk hantar makanan dan menguruskan dia,” katanya ketika ditemui selepas solat jenazah di surau kampung itu, hari ini.

Katanya, dia bersama adik-beradik lain sudah beberapa kali memujuk ibunya untuk tinggal bersama mereka, namun arwah enggan.

Anak sulung arwah, Rohani, 47, pula berkata, ibunya pernah tinggal bersamanya selama beberapa tahun di Manjung, namun meminta untuk kembali tinggal di rumah berkenaan.

“Sudah berbelas tahun juga mak tinggal di rumah itu, dia memang hanya hendak duduk di rumahnya sendiri kerana mungkin sudah terbiasa.

“Kami tidak dapat berkomunikasi dengannya kerana keadaannya yang tidak dapat mendengar dan melihat,” katanya.

Katanya, jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Mewah kira-kira jam 6.30 petang tadi.

Sementara itu, jiran yang juga saksi kejadian, Nor Rina Ahmad Layali, 43, berkata dia melihat mangsa duduk di bahagian depan rumah sebelum mendengar penduduk kampung tiba-tiba riuh-rendah.

“Saya ada nampak dia (arwah) duduk depan rumah, tetapi selang 30 minit kemudian mendengar bunyi bising. Apabila keluar rumah, saya nampak api sudah besar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Nor Rina berkata, ketika ketika kejadian beberapa penduduk kampung sedang cuba menyelamatkan mangsa dengan memecahkan tingkap dapur, namun gagal kerana api sudah marak.

“Penduduk kampung mendengar jeritan sayup-sayup meminta tolong, dan mereka cuba menarik keluar mangsa menerusi tingkap dapur tetapi tidak berjaya,” katanya.

Terdahulu, portal berita Harian Metro melaporkan mangsa maut akibat sesak nafas selain turut melecur 20 peratus selepas rumahnya terbakar pada 1.10 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kebakaran kediaman berkenaan berjaya dipadamkan pihak bomba pada 1.45 tengah hari.

“Anggota bomba yang masuk ke dalam rumah menemui mangsa dalam keadaan terbaring di lantai dapur.

“Mangsa kemudian dibawa keluar dalam keadaan api sedang marak, dan berdasarkan maklumat pihak bomba, wanita itu disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 8:29 PM
KEADAAN rumah mangsa wanita warga emas yang maut dalam kebakaran, Alang Halimah Amban, 70, di Kampung Bendera, Ara Payung FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
KEADAAN rumah mangsa wanita warga emas yang maut dalam kebakaran, Alang Halimah Amban, 70, di Kampung Bendera, Ara Payung FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI