KEBAKARAN hutan di Bukit Semanggol. FOTO Ihsan Bomba.
KEBAKARAN hutan di Bukit Semanggol. FOTO Ihsan Bomba.
BERNAMA

Ipoh: Lebih dua hektar kawasan hutan di Bukit Semanggol, Jalan Kubu Gajah, dekat Gunung Semanggol, di sini terbakar, petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 4.37 petang.

Katanya, jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai dibantu BBP Kamunting telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Ketika tiba di lokasi, api sedang marak dan merebak ke kawasan atas bukit melibatkan keluasan lebih dua hektar namun setakat ini tiada mangsa yang dilaporkan terbabit.

"Pada mulanya kita dimaklumkan kebakaran hanya melibatkan kawasan seluas 10x10 meter persegi sahaja dan pihak bomba sedang berusaha memadam kebakaran supaya ia tidak terus merebak ke kawasan lain hutan di atas Bukit Semanggol," katanya dalam satu kenyataan.

Sabarodzi berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan dan pihak bomba tidak menolak kemungkinan berpunca daripada aktiviti pembersihan kawasan.

Operasi memadam kebakaran masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 10:29 PM