DADAH yang diserahkan suspek kepada polis. FOTO ihsan polis
DADAH yang diserahkan suspek kepada polis. FOTO ihsan polis
Abdul Rahemang Taiming


SEORANG penagih dadah bertindak di luar kebiasaan apabila dengan sendirinya menyerahkan sejumlah dadah miliknya kepada polis dalam Ops Ice Breaker di Kampung Kunak 3, Kunak, hari ini.

Lelaki berusia 38 tahun yang menunggang motosikal jenis Modenas sebelum itu melarikan diri sebelum berjaya ditahan polis pada 11.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Baharin Md Tahir berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) mengesan gerak-geri suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun katanya, ketika anggota polis menghampiri dan memperkenalkan diri, suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

“Apabila anggota polis hendak membuat pemeriksaan pada badannya, suspek serta-merta mengeluarkan dua paket plastik lut sinar berisi ketulan hablur disyaki syabu seberat 5.1 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baharin berkata, siasatan lanjut mendapati suspek memiliki satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah pada 2000.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine sebelum dibawa ke IPD Kunak untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 10:02 PM