ANTARA individu ditahan polis dalam serbuan berkaitan dadah di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kunak Jaya, Kunak. FOTO IHSAN IPD KUNAK
ANTARA individu ditahan polis dalam serbuan berkaitan dadah di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kunak Jaya, Kunak. FOTO IHSAN IPD KUNAK
Abdul Rahemang Taiming


POLIS menahan enam lelaki termasuk tiga beranak dalam operasi membanteras dadah di dua lokasi berasingan di Kunak, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Baharin Md Tahir berkata, tiga beranak itu ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kunak Jaya, kira-kira jam 1 pagi.

Katanya, serbuan dijalankan susulan maklumat berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah di rumah didiami bapa bersama dua anak lelakinya itu.

“Ujian awal saringan air kencing mendapati tiga beranak masing-masing berusia antara 20 hingga 50 tahun didapati positif dadah jenis Metahmphatamine,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan petang semalam, polis turut menahan tiga lelaki warga Filipina berhampiran ladang sawit Pangi, Jalan Kunak-Semporna.

Menurutnya, seorang daripada suspek berusia 49 tahun didapati memiliki enam paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat 6.16 gram dianggarkan bernilai RM924.

Jelas Baharin, semua suspek didapati positif dadah jenis Metahmphatamine kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 12:47 PM