LEBIH 70 anggota pelbagai agensi merobohkan rumah dan pondok yang dijadikan tempat menghisap dadah. FOTO ihsan polis
LEBIH 70 anggota pelbagai agensi merobohkan rumah dan pondok yang dijadikan tempat menghisap dadah. FOTO ihsan polis
Hazsyah Abdul Rahman


SEBANYAK 11 rumah dan pondok yang dijadikan tempat menghisap dan penjualan dadah di Kampung Air, Lahad Datu, dirobohkan dalam operasi bersepadu, hari ini.

Dalam operasi bermula 9 pagi itu, seorang lelaki ditahan kerana memiliki dadah seberat 0.42 gram.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, hasil risikan polis mendapati kawasan itu menjadi lokasi tumpuan aktiviti berkaitan dadah.

“Susulan itu, satu operasi merobohkan struktur dijalankan membabitkan pelbagai agensi seperti Majlis Daerah Lahad Datu, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Air Negeri Sabah dan Sabah Electricity Sendirian Berhad. Semuanya lebih 70 petugas.

“Dalam operasi itu, sembilan rumah dan sebuah pondok dirobohkan. Sebanyak 90 kilogram kabel elektrik dirampas dan seorang lelaki diberkas,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Nasri berkata, pihaknya akan sentiasa menjalankan operasi sedemikian dari semasa ke semasa demi membasmi aktiviti dadah dan penempatan haram di kawasan hutan simpan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 10:09 PM