CHEAN Chung bertemu Farhana (dua dari kiri), Fatin (kiri), yang kembali bersekolah di SMK Indera Mahkota 2, Kuantan. FOTO ASROL AWANG
CHEAN Chung bertemu Farhana (dua dari kiri), Fatin (kiri), yang kembali bersekolah di SMK Indera Mahkota 2, Kuantan. FOTO ASROL AWANG
Asrol Awang


NASIB empat beradik yang tercicir persekolahan tahun lalu akibat masalah kewangan mendapat perhatian Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu yang tampil membantu.

Bantuan akan diberikan kepada Nur Farhana Nadira, 14, dan Nur Fatin Babilla Mardek, 13, yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Indera Mahkota 2, Kuantan.

Selain adik mereka iaitu Muhammad Adam Khuzairie, 11, dan Niq Abdul Aman Naufal, 7, yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Padang.

Nur Farhana berkata, dia dan tiga adiknya gembira kerana dapat kembali ke sekolah, tahun ini.

“Bantuan kelengkapan persekolahan dan bayaran yuran membolehkan kami kembali bersekolah seperti rakan lain.

“Keluarga menghadapi masalah kewangan kerana ibu (Rusmawatih Sudin), 45, tidak bekerja manakala ayah (tiri) pula (Ezuwan Efendy Dollah, 35) bekerja sebagai pemandu lori,” katanya ditemui di SMK Indera Mahkota 2, Kuantan, hari ini.

Nur Farhana, anak kelima daripada lapan beradik menetap di Kampung Padang, Kuantan.

Sementara itu, ADUN Semambu, Lee Chean Chung berkata, pihaknya mengumpul dana bagi membantu empat beradik itu untuk kembali ke sekolah atas rasa prihatin dengan masalah kewangan keluarga terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 5:58 PM