DUA suspek yang ditahan di Masjid Kampung Tok Bok, Pulai Chondong, Machang, hari ini. Foto Ihsan Pembaca
DUA suspek yang ditahan di Masjid Kampung Tok Bok, Pulai Chondong, Machang, hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Hazira Ahmad Zaidi


DUA lelaki dipercayai cuba mencuri wang tabung masjid hanya mampu berputih mata apabila ditahan di Masjid Kampung Tok Bok, Labok Pulai Chondong, Machang, hari ini.

Dalam kejadian 1 pagi, kelibat dua lelaki itu dilihat mencurigakan oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang melakukan rondaan berhampiran masjid terbabit.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, kedua-dua suspek berusia 20 dan 33 tahun dipercayai cuba mencuri wang dari tabung masjid.

“Pada masa sama, dua penduduk lelaki yang berada di perkarangan masjid turut melihat perbuatan itu.

“Anggota polis kemudian berjaya menahan kedua-dua suspek dengan bantuan orang awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 6:42 PM