Hazira Ahmad Zaidi

Machang: Tiga pekerja warga Bangladesh maut, dipercayai tertimbus ketika bekerja di tapak pembinaan lebuh raya di Kampung Maka, Labok dekat Pulai Chondong, hari ini.

Menurut saksi, Anies Asiykin Ariffin, 29, ketika kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, dia baru selesai memasak di dapur apabila terdengar jeritan pekerja di tapak pembinaan berkenaan.

Katanya, dia juga melihat beberapa pekerja berlari ke arah pemandu mesin pengorek sambil menunjukkan tempat mangsa tertimbus.

"Jarak rumah saya dengan lokasi kejadian kira-kira 50 meter, tapi ketika itu saya tidak fikir suatu yang pelik sehingga diberitahu biras (Siti Rohani Setapa, 38) mengenai pekerja tertimbus," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan semua mangsa berusia lingkungan 30-an sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Machang untuk tindakan lanjut.

TAPAK pembinaan lebuh raya di Kampung Maka, Labok dekat Pulai Chondong, Machang yang menyaksikan tiga pekerja Bangladesh maut tertimbus. FOTO Hazira Ahmad Zaidi.
TAPAK pembinaan lebuh raya di Kampung Maka, Labok dekat Pulai Chondong, Machang yang menyaksikan tiga pekerja Bangladesh maut tertimbus. FOTO Hazira Ahmad Zaidi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 6:14 PM